Disclaimer

Cerita ini adalah fiksyen semata-mata, tidak ada hubungan antara yang hidup dengan yang mati. Persamaan nama dan tempat hanya sekadar satu kebetulan.

Sunday, April 15, 2012

Entri 6: Memori


Seharian Barak mengurung diri di bilik. Berbungkus selimut, langsir ditarik, lampu ditutup. Terketar-ketar dia di atas katil, walaupun cuaca Melaka yang membahang itu tak dapat diredakan dengan putaran kipas paling laju. Dia sangat takut, teringat kejadian malam itu. Malam yang tidak ada bezanya dari malam-malam sebelumnya. Malam di mana teman lepaknya paling tegar pulang ke rumah dahulu, walaupun sebelumnya dialah yang ajak lepak sampai tengah malam. Kipas berputar laju, deruan angin kuat. Peluh mencucur membasahi badannya yang kepanasan. Tapi dirasakan sejuk sekali. Tulang-temulangnya ngilu, gigi menggeletar.

            Mak Cik Fauziah mengetuk lagi pintu kamar Barak. Mengajak makan dan solat. Tapi tak kedengaran langsung anaknya menjawab. Dicuba membuka pintu, malangnya berkunci. Mahu saja dia mencari kunci bilik anaknya di antara gugusan kunci-kunci yang entah mana-mana, tapi suaminya menghalang. Disuruh membiarkan saja anak lelakinya itu. Biarkan anaknya melayan rasa seram, seriau, trauma. Kejadian yang bukan senang untuk dilupakan.

Barak mengerekot, melayan memori. Seingat dia, mereka hanya melepak di pangkin, tempat lepak biasa mereka. Melakukan perkara-perkara biasa, berborak dan ketawa. Man, seperti biasa perasan yang dia tu rocker, memetik gitar kapoknya itu malam-malam buta, sambil nyanyi dengan suara sumbangnya. Sudah berapa kali mereka katakan yang tak mungkin dia menjadi bintang YouTube, kerana, bak kata Amir “Suara kau dahlah macam katak, muka pecah pintu, ada hati nak upload video kat YouTube! Kalau main gitar bagus bolehla, ni main gitar pun bunyi ke laut, sudahlah! Karang kau upload, dapat dislike 100 juta kali, kau nangis. Kitorang pun tak tahan dengar kau nyanyi, apatah lagi entah siapa-siapa kat internet tu!” Tapi kata-kata pedas Amir itu hanya menjadi angin lalu di telinga Man yang yakin satu hari nanti, dia boleh menjadi sepopular Yuna.

Tapi malam itu mereka bertiga, tidak berempat seperti selalu. Terasa hambar tanpa kata-kata pedas dari Amir yang ada saja hal yang dia tak berpuas hati. Kawasan taman sepi, memandangkan sudah hampir jam 11 malam. Lampu-lampu jalan menerangi kawasan perumahan itu dengan cahaya suram. Sekali-sekala ada motor dan kereta lewat, pulang menuju ke rumah. Mereka bertiga masih ketawa. Bersenda-gurau. Motor kapcai cabuk Wak yang melewati pangkin berhenti sebentar.

“Korang ni, dah takde rumah ke? Tak reti nak balik dah malam-malam ni? Ayam pun reti balik reban, tau!” bebelan Wak disambut dengan gelak ketawa mereka bertiga

“Ala Wak, chill la! Baru pukul 10:55! Nanti 11:30 kitorang balikla!” Sahut Man.

“Banyakla kau punya 10:55! Balik! Dah malam! Apa budak sekolah melepak kat luar memalam buta! Balik! Esok sekolah! Dah, dah balik!”

Mereka hanya tersengih melihat cubaan orang tua itu menghalau mereka. Puas marah, Wak berlalu sambil merungut, meninggalkan mereka pergi dengan asap berkepul. Dan tiga remaja di pangkin, sambung berbuat bising. Malam makin larut…

“Weh, Barak, ko teng….”

“AJOY!!!”